salam. Hamba telah memecah belahkan blog hamba kepada 2 bahagian iaitu
blog ini cintaal-aqsa.blogspot.com untuk politik , teknologi etc
blog kedua cintaalaqsa.blogspot.com untuk bicara sains dan islam
dan blog ketiga cinta-al-aqsa.blogspot.com sebagai jurnal peribadiSalam Ukhwah buat semua. semoga mendapat manfaat.
Isnin, 23 Mei 2011
TERBUNUH KERANA OPERASI CEGAH MAKSIAT?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Soalan: Dr Asri, semalam ada berita seorang telah terjatuh mati kerana lari dari intipan pihak pencegah maksiat sebuah jabatan agama. Bolehkah perkara macam ini berlaku? Bolehkah kita cegah maksiat sehingga menyebabkan orang mati? Minta tolonglah Dr Asri huraikan kes ini.
Kenali mangsa, KL.
Jawapan: Ya, saya berdukacita dengan berita kematian seorang individu kerana lari daripada intipan pihak pencegah maksiat yang cuba menangkapnya kerana khalwat. Kes ini bukan yang pertama. Sudah berapa banyak kes yang sama berlaku dalam negara kita. Walaupun sudah kritikan dibuat, tetapi hal ini tetap berulang. Apabila berita tersebar dalam media, ia telah memalukan keluarga mangsa, memberikan mesej yang salah mengenai Islam kepada bukan muslim dalam negara ini, yang sememangnya telah lama salah faham disebabkan tindakan masyarakat muslim itu sendiri. Di sini saya suka menyebut beberapa perkara secara umum mengenai kes-kes yang telah berlaku;
1. Mana-mana pihak tidak boleh menuduh mangsa atau terlibat sebagai berzina, kerana tuduhan zina memerlukan empat orang saksi yang lihat secara jelas berlakunya zina, bukan sekadar berdua-duaan, atau berpelukan atau seumpamanya. Jika tidak, penuduh di bawah hukum qazaf. Jika tiada bukti jelas, paling tinggi yang boleh dituduh berkhalwat, bukan berzina.
2. Islam tidak cenderung menghukum dan membongkar maksiat peribadi sekalipun pelakunya mengaku. Islam cenderung agar pelakunya bertaubat dan menutup keaiban dirinya. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi.
Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
3. Khalwat (bersendirian) dengan bukan mahram memang suatu kesalahan. Namun, ada beza antara mereka yang secara terang bermaksiat dengan yang cuba bersembunyi. Ini yang disebut oleh Rasulullah s.a.w: :
“Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ini kerana yang cuba sembunyikan dosa –sekali sedang maksiat- masih lagi mempunyai nilai malu dan menjaga maruah diri dan keluarganya.
4. Apa yang peliknya dalam negara kita, maksiat yang jelas, berpelukan lelaki dan perempuan dalam filem, atas pentas lakonan, pentas seni dibiarkan oleh pihak berkuasa pencegah maksiat, sehingga ada isteri orang besar pun yang memeluk artis luar negara di hadapan umum, dibiarkan, yang sembunyi dicari dan diburu.
5. Al-Quran melarang perbuatan mengintip bagi mencari maksiat peribadi yang bukan jenayah awam. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya:
wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “Allah melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain.
Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang Allah tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya.
Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)
6. Justeru itu, para ulama sejak dahulu telah melarang mengintip untuk mencegah maksiat. Hal ini telah saya sebut berulang kali. Sikap suka mengintip inilah juga yang mencetuskan kontraversi ‘video seks’ yang jika dibenarkan akan menjadi trend yang digunakan oleh pelbagai untuk menjatuh pihak yang lain. Hal ini telah ditegaskan oleh al-Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulum al-Din:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah mungkar) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini.
Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”.
Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
7. Dr Yusuf al-Qaradawi membuat tegasan yang sama:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat.
Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
8. Maka, tindakan mana-mana pasukan pencegah maksiat peribadi seperti khalwat, minum arak dalam keadaan sembunyi sehingga menyebabkan kematian adalah satu dosa. Maka anggota operasi perlulah didakwa dan dibicara atas tuduhan menyebabkan kematian. Mereka ini telah menyebabkan mungkar yang lebih besar iaitu kematian kerana ingin mencegah kemungkaran kecil iaitu ‘khalwat’ dan menggunakan kaedah pencegahan yang dilarang oleh agama iaitu mengintip.
GARIS PANDUAN UMUM OPERASI TANGKAP KHALWAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Memandang Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan. Ini kerana operasi ‘tangkap khalwat’ selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini. Ramai orang menyangka tanpa operasi ‘tangkap khalwat’ maka bertambah perzinaan dalam masyarakat, sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat. Malang sekali, jika maksiat tertutup diintip dan dicari sementara yang nyata dibiarkan dan dipromosi.
Maka dengan ini saya mencadangkan beberapa perkara berikut mestilah difahami dan diberikan perhatian dalam operasi ‘tangkap khalwat’;
1. Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (mengintip aib orang lain) berkembang dalam masyarakat Islam.
Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperolehi secara jelas, bukan tajassus atau intipan. Jika pemberi maklumat melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak. Menerima pemberitahuan bersumberkan tajassus akan menggalakkan masyarakat kita mengintip antara satu sama lain. Maka, mungkin akan diintip hubungan seks pasangan suami isteri atas ‘kononnya’ hendak memastikan mereka tidak melakukan maksiat. Sebab itu apabila dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:
“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)
2. Tidak Boleh Operasi Itu Sendiri Berasaskan Tajassus.
Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik, atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam. Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa. Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (Surah al-Hujurat ayat: 12)
3. Operasi Tidak Boleh Berasaskan Maklumat Yang Tidak Pasti
Sekalipun tanpa intipan, tetapi jika berita berasaskan syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat: (maksudnya)
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Maka pemberi maklumat atau informer yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak. Termasuk dalam hal ini ‘kaki tajassus’. Al-Imam Ibn Kathir menyebut bahawa berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menolak riwayat orang yang tidak diketahui latarbelakangnya dibimbangi ia fasik.
4. Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.
Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan. Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:
“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
5. Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.
Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam. Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain. Ini tidak boleh disamakan dengan hukuman zina di khalayak ramai yang pasti dengan saksi yang yakin. Sebab, Nabi s.a.w berusaha menolak kes-kes zina, dihukum setelah pasti tanpa didedahkan aktiviti seks secara terperinci melainkan proses penghakiman.
6. Tidak boleh menuduh mereka yang berkhalwat itu berzina selagi tiada empat orang saksi yang melihat secara terperinci proses zina itu berlaku tanpa syak.
Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan